CHENGDU, 12 Ogos – Atlet Hungary, Zsofia Torocsik, mencipta sejarah di Sukan Dunia 2025 apabila memecahkan rekod dunia acara selam bebas (freediving) pada Isnin.
Torocsik menahan nafas selama empat minit di dalam air untuk berenang sejauh 300 meter, sekali gus memecahkan rekod terdahulu sebanyak 16 meter dan meraih pingat emas.
Pada hari kelima temasya yang mempamerkan sukan bukan Olimpik itu, Amerika Syarikat turut memenangi emas dalam acara lacrosse dan hoki sebaris (Inline).
Dalam aksi akhir lacrosse enam sebelah wanita, AS membalas dendam ke atas seteru utama, Kanada, dengan kemenangan 16-8, selepas tewas dalam perlawanan akhir edisi 2022 di tanah air sendiri.
Sementara itu, skuad hoki inline lelaki AS menewaskan Republik Czech dalam final dramatik apabila Kevin Mooney menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan. - REUTERS
