NEW YORK, 7 September – Bintang tenis wanita Belarus, Aryna Sabalenka menewaskan pilihan kelapan dari Amerika Syarikat, Amanda Anisimova 6-3, 7-6(3) pada perlawanan akhir perseorangan wanita Terbuka AS pada Sabtu.
Pilihan utama itu berjaya mempertahankan kejuaraannya sekali gus mengumpul empat gelaran Grand Slam.
Bermain di perlawanan akhir Grand Slam keduanya, Anisimova yang dilahirkan di New Jersey mendapat sokongan padu penonton di Stadium Arthur Ashe, namun gagal mengekalkan momentum.
Sabalenka mempamerkan ketenangan apabila hanya melakukan empat kesilapan sendiri pada set pertama, memanfaatkan kesemua tiga peluang break point yang diperolehnya untuk meraih kelebihan.
Pada set kedua, Sabalenka mendahului dengan satu break, namun gagal menamatkan perlawanan apabila melakukan kesilapan pada permainan ke-10 yang memberi ruang kepada Anisimova untuk menyamakan kedudukan.
Namun, Sabalenka bangkit di tie-break dengan servis kencang untuk menutup perlawanan.
Dalam aksi beregu lelaki, pasangan Marcel Granollers (Sepanyol) dan Horacio Zeballos (Argentina) menyelamatkan tiga mata kejuaraan sebelum menundukkan gandingan Britain, Joe Salisbury dan Neal Skupski 3-6, 7-6(4), 7-5 untuk merangkul gelaran Grand Slam kedua tahun ini.
Pilihan kelima itu sekali lagi menegaskan dominasi mereka ke atas gandingan pilihan keenam tersebut, selepas menewaskan mereka di Terbuka Perancis pada Jun dan di suku akhir Wimbledon sebulan kemudian.
Granollers dan Zeballos, bermula perlahan apabila melakukan dua double fault yang menghadiahkan break penting buat lawan untuk memenangi set pembukaan.
Namun mereka bangkit di set kedua, menyelamatkan tiga break point ketika ketinggalan 0-40 pada kedudukan 3-3, sebelum memaksa tie-break dan memanfaat kesilapan Salisbury-Skupski untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Set penentuan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling menguasai servis, namun Granollers-Zeballos bangkit menyelamatkan tiga mata kejuaraan sebelum membuat break penting dan menamatkan aksi penuh dramatik pada peluang kedua.
Salisbury dan Skupski, yang hanya bergandingan sejak awal tahun ini, terlepas peluang menjadi pasangan Britain pertama memenangi gelaran beregu lelaki AS Terbuka sejak 1903. - REUTERS