fb fb fb fb fb

Daim-Aaron juara keseluruhan MTC

Foto Hi-Rev Dream Chaser Racing Team

SEPANG, 6 September - Gandingan Daim Hishammudin dan Aaron Haikal mewakili Hi-Rev Dream Chaser Racing Team, menamatkan musim dengan penuh bergaya.

Mereka muncul juara keseluruhan kategori Malaysia Touring Car (MTC) dalam Kejohanan Kereta Touring Malaysia (MTCC) selepas meraih kemenangan sulung dalam pusingan terakhir, hari ini.

Bermula dari petak keempat, Daim dan Aaron berjaya menamatkan perlumbaan ketahanan sejauh 300 kilometer (km) di Litar Antarabangsa Sepang.

Sekali gus menutup musim penuh dramatik dengan kejayaan manis.

Kereta R-Engineering mengisi tempat kedua dan ketiga perlumbaan.

Gandingan Lai Wee Seng-Leon Khoo menamatkan saingan di tempat kedua (+2:06.959s), manakala pasangan Hakimi Kamil-Aiyub Alamghir pula menamatkan perlumbaan di tempat ketiga (+6:45.577s).

Kemenangan ini membolehkan Daim dan Aaron, yang sebelum ini berada di kedudukan ketiga keseluruhan, mengumpul 103 mata untuk dinobatkan sebagai juara musim ini dalam kategori MTC.

Daim, yang jelas terharu dengan kejayaan bersejarah itu, mengakui ia adalah hasil semangat juang tinggi seluruh pasukan.

“Ini kali pertama kami berdua bersaing sepenuh musim dalam kategori MTC dan Alhamdulillah kami menang. Sepanjang musim, jentera kami paling perlahan kerana hampir semua pasukan lain menggunakan kereta yang jauh lebih laju. Tetapi satu perkara yang kami ada dan mereka tiada, ialah semangat sepasukan.

"Saya berterima kasih kepada semua kru Hi-Rev dan Dream Chaser yang tidak pernah berputus asa, walaupun sering menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Kami hanya menang satu perlumbaan musim ini, tetapi inilah perlumbaan paling penting,” katanya selepas perlumbaan.

Daim turut menyatakan faktor ketahanan kereta banyak membantu mereka ketika berdepan masalah teknikal pada penghujung perlumbaan.

Aaron, 18, yang juga adik kepada pelumba terkenal Hayden Haikal, pula mengakui masih sukar mempercayai kejayaan yang diraih.

“Saya tidak tahu nak cakap apa kerana ini kemenangan pertama saya dalam kategori MTC. Kami memang tiada kelebihan kelajuan sepanjang musim tetapi kami konsisten, sentiasa berada di podium. Terima kasih juga kepada abang saya (Hayden) kerana banyak memberi tunjuk ajar musim ini,” katanya.

Musim ini juga menjadi titik perubahan bagi kategori MTC selepas ia beralih kepada penggunaan enjin berkuasa turbo.

Tahun lalu, kategori ini masih dikenali sebagai Malaysia Championship Series (MCS) dengan penggunaan enjin aspirasi natural.

Sementara itu, rakan sepasukan, Hayden Haikal yang bergandingan dengan Rahul Mayer musim ini, tidak bernasib baik apabila terpaksa menamatkan perlumbaan akhir lebih awal akibat masalah teknikal.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID