THAILAND, 6 September - Skuad Harimau Muda kembali 'menyalakan' peluang ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2026, hari ini.
Dalam perlawanan kedua kelayakan Kumpulan F yang berlangsung di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand, Malaysia membelasah Mongolia 7-0.
Jaringan milik skuad negara diperoleh seawal minit ke-13 menerusi Muhammad Aliff Izwan, sebelum Ahmad Aysar Hadi menambah gol kedua selang dua minit kemudian.
Persefahaman pemain di atas padang terus dibuktikan apabila Harimau Muda menerusi Fergus Tierney berjaya meledak hatrik, masing-masing pada minit ke-36, 46 dan 48.
Perjuangan anak buah Nafuzi Zain tidak terhenti apabila Aliff kembali mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-59, sebelum Ziad El Basheer meledak gol ketujuh dengan jaringan minit ke-68.
Pesta gol negara di negara jiran itu membolehkan Malaysia meraih tiga mata berharga untuk naik ke tangga ketiga Kumpulan F.
Thailand merupakan ujian terakhir Malaysia peringkat kumpulan, Selasa depan.