NEW YORK, 21 Ogos - Sara Errani dan Andrea Vavassori berjaya mempertahankan kejuaraan beregu campuran Terbuka AS selepas menewaskan pasangan Iga Swiatek dan Casper Ruud 6-3, 5-7, 10-6 dalam aksi akhir edisi baharu kejohanan itu.
Pasangan Itali itu membawa pulang hadiah utama bernilai AS$1 juta atau (RM4.4 juta) selepas menempuh cabaran sengit selama dua hari dalam kejohanan yang menampilkan 16 pasukan yang dianjurkan lebih awal daripada jadual utama Grand Slam terakhir tahun ini yang bermula Ahad ini.
Format baharu dengan ganjaran lumayan itu turut menarik penyertaan beberapa bintang perseorangan, termasuk juara Grand Slam enam kali, Swiatek, dan pemain nombor satu dunia lelaki, Carlos Alcaraz, yang bagaimanapun tersingkir awal bersama gandingannya, Emma Raducanu.
Errani dan Vavassori, yang telah bergandingan selama dua tahun dan turut memenangi gelaran beregu campuran Terbuka Perancis tahun ini, terbukti menjadi kelebihan dalam aksi akhir.
Mereka berjaya memenangi set pertama dan kembali bangkit dalam tiebreak set penentuan untuk memastikan kejuaraan kekal milik mereka.
Dalam pada itu, Vavassori mengakui mereka berada dalam "misi" untuk membuktikan kemampuan menentang bintang-bintang perseorangan, manakala Errani menyifatkan bermain di Stadium Arthur Ashe yang penuh penonton sebagai satu pengalaman yang "mengujakan". - REUTERS