fb fb fb fb fb

Suku akhir Piala Liga: Suarez bantu Inter Miami raih kemenangan

Penyerang Inter Miami, Luis Suarez muncul wira pasukannya apabila membantu kelab itu meraih kemenangan 2-1. / Foto AFP

MIAMI, 21 Ogos - Penyerang Inter Miami, Luis Suarez muncul wira pasukannya apabila membantu kelab itu meraih kemenangan 2-1 menewaskan Tigres UANL dalam aksi suku akhir Piala Liga, awal pagi tadi.

Dalam saingan yang berlangsung di Chase Stadium menyaksikan Inter Miami lebih banyak mendominasi permainan pada aksi babak pertama.

Beraksi tanpa khidmat pemain bintang utamanya Lionel Messi, tidak memberi kesan kepada Inter Miami apabila berupaya mendapatkan gol awal pada minit ke-23 hasil sepakan penalti yang dimanfaatkan oleh Suarez.

Babak kedua berlangsung lebih sengit apabila Tigres UANL berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67 hasil jaringan pemain Argentina, Angel Correa.

Pada minit ke-89, sekali lagi Inter Miami dihadiahkan sepakan penalti dan dimanfaatkan sebaiknya oleh Suarez sekali gus membantu pasukannya mengesahkan kemenangan.

Sementara itu, pembantu jurulatih Inter Miami, Javier Morales berpendapat pasukannya telah beraksi dengan baik biarpun tanpa khidmat pemain utamanya, Messi.

"Kami tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkan Messi dalam perlawanan ini. Kami berharap dia (Messi) akan segera pulih," jelas Morales.

Dalam saingan awal pagi tadi, Messi direhatkan kerana kecederaan yang dialami ketika Inter Miami meraih kemenangan menentang kelab dari Mexico, Necaxa pada 3 Ogos lalu. - AFP

ZAZALI JAMIAN