LAUSANNE, 21 Ogos - Atlet olahraga Jamaica, Oblique Seville mencipta sensasi apabila muncul terpantas dalam saingan akhir 100 meter (m) Liga Berlian, awal pagi tadi.
Lebih membanggakan, Seville berupaya menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2024, Noah Lyles pada saingan akhir yang berlangsung dalam hujan di Stadium La Pontaise Olympic, Lausanne.
Seville menamatkan saingan 100m dengan catatan 9.87 saat (s) manakala Lyles yang mewakili Amerika Syarikat di tempat kedua dengan catatan 10.02s.
Bagi Seville, kejayaan tersebut meningkatkan keyakinannya menjelang Kejohanan Dunia di Tokyo pada 13 hingga 21 September ini.
"Berlari dengan catatan 9.87 saat dalam cuaca sebegini membuktikan saya mampu berlari lebih pantas lagi jika berdepan jua cabaran. Sudah lama atlet Jamaica tidak memenangi acara 100m pada Kejohanan Dunia dan saya percaya, saya mampu melakukannya," katanya.
Sementara itu, Lyles akui prestasinya masih di tahap terbaik biarpun tewas dalam acara tumpuan di Lausanne.
"Sedikit kesilapan sewaktu permulaan larian telah menjejaskan keseluruhan larian saya pada saingan akhir ini. Saya tetap yakin dengan kemampuan menjelang kejohanan di Tokyo dan fokus saya adalah untuk meraih kecemerlangan," jelasnya yang memenangi pingat emas 100m Sukan Olimpik 2024 dengan catatan masa 9.79s. - AFP