ADELAIDE, 5 Januari-Bintang tenis Novak Djokovic bakal berdepan prospek kehilangan beberapa pertandingan di Amerika Syarikat (AS) susulan penolakannya terhadap vaksin.
Bekas pemain nombor satu dunia itu dikatakan bakal terlepas pertandingan berprestij seperti Indian Wells dan Terbuka ATP Miami selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat meneruskan keperluan bagi pelawat antarabangsa untuk divaksin bagi melawan COVID-19.
"Tunggu dan lihat. Sekiranya perkara ini disahkan, baru kita akan bercakap mengenainya", kata pemain Serbia pemenang 21 kali kejuaraan Grand Slam di Adelaide ketika dia sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi Terbuka Australia.
Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat (TSA) dilaporkan bakal melanjutkan larangan terhadap penduduk bukan warganegara yang tidak divaksin sehingga April dengan pertandingan tenis Terbuka Indian Wells yang dijadualkan berlangsung pada 6 sehingga 19 Mac diikuti Terbuka Miami pada 19 Mac hingga 2 April.
Sebelum ini Djokovic dilarang memasuki negara itu bagi bermain di Terbuka Amerika tahun lalu kerana status vaksinnya. Dia juga telah dihantar pulang dari Australia pada Januari lalu kerana alasan yang sama.
Djokovic kemudiannya dilarang memasuki Australia selama tiga tahun selepas gagal dalam permohonan di mahkamah.
Namun, Australia telah membatalkan larangan keperluan bagi pelawat menunjukkan bukti telah divaksin.
Bercakap kepada pemberita mengenai pengalamannya dihantar pulang ketika terbuka Australia, Djokovic menjelaskan ia merupakan pengalaman yang sukar dilupakan dan tidak ingin diulanginya lagi.
Djokovic yang tergelincir dikedudukan kelima dunia berisiko kehilangan sebanyak 2,000 mata sekiranya tidak bermain di Terbuka Indian Wells dan Miami-AFP
(Novak Djokovic ketika menjawab soalan di sidan media Terbuka Adelaide/FOTO AFP)