KUALA LUMPUR, 12 September - Kekal di tahap prestasi terbaik akan terus menjadi fokus utama beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dalam apa jua kejohanan disertai.
Jelas Tang Jie, mereka tidak akan hanyut meskipun pelbagai insentif dan ganjaran diterima selepas menjulang gelaran juara dunia sebaliknya menjadi dorongan untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Secara keseluruhan, kedua-dua atlet itu telah menerima ganjaran melebihi RM100,000 daripada pelbagai pihak susulan kejayaan mereka merangkul gelaran dunia di Paris pada 31 Ogos lalu.
“Bagi kami tiada yang berubah kerana sekarang kami masih lagi atlet badminton. Sama ada dulu atau akan datang.
"Matlamat kami adalah untuk meraih lebih banyak pencapaian untuk negara dan juga untuk diri kami sendiri,” kata Tang Jie ketika ditemui media pada majlis penyampaian insentif oleh syarikat barangan elektronik, Senheng Malaysia, di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Pada majlis itu, beregu tersebut menerima insentif berjumlah RM125,000, dengan Tang Jie membawa pulang wang tunai RM100,000, manakala Ee Wei menerima produk elektronik bernilai RM25,000.
