LONDON, 12 September - Ange Postecoglou menegaskan dirinya tiada apa untuk dibuktikan ketika diperkenalkan secara rasmi sebagai pengurus baharu Nottingham Forest pada Khamis.
Jurulatih berusia 60 tahun itu berkata, keutamaannya adalah menambah lembaran baharu dalam sejarah kelab berkenaan.
“Saya tidak nampak ia sebagai sesuatu yang perlu dibuktikan. Biarlah tindakan yang berbicara,” katanya pada sidang media pertamanya di Stadium City Ground selepas menggantikan Nuno Espirito Santo.
Postecoglou dipecat Tottenham Hotspur pada Jun lalu hanya beberapa hari selepas merangkul trofi Liga Europa. Dia mengakui tidak menjangka akan kembali begitu pantas ke Liga Perdana Inggeris, dan bakal memulakan tugasan sulungnya menentang Arsenal di London Utara, Sabtu ini.
Biasanya, pengurus baharu mengambil alih pasukan bergelut, namun Espirito Santo sebenarnya berjaya membawa Forest kembali ke pentas Eropah selepas menamatkan saingan liga di tangga ketujuh musim lalu, 27 mata lebih baik daripada pencapaian Tottenham kendalian Postecoglou.
Bagaimanapun, perselisihan faham antara Espirito Santo dan pemilik Forest, Evangelos Marinakis, menyebabkan jurulatih Portugal itu kehilangan jawatan.-REUTERS
