TIRANA, 12 September - Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pada Khamis mengumumkan Madrid dan Warsaw bakal menjadi tuan rumah aksi akhir Liga Juara 2027 bagi kategori lelaki dan wanita.
Perlawanan akhir lelaki akan berlangsung di Estadio Metropolitano, gelanggang Atletico Madrid yang sebelum ini menjadi pentas kemenangan Liverpool ke atas Tottenham Hotspur pada 2019. Sementara itu, aksi penentuan juara wanita pula akan diadakan di Stadium Nasional Warsaw.
UEFA turut mengesahkan perlawanan Piala Super Eropah tahun depan akan berlangsung di Salzburg, Austria.
Bagi edisi 2026, perlawanan akhir lelaki ditetapkan di Arena Puskas, Budapest manakala aksi akhir wanita akan dianjurkan di Ullevaal Stadion, Oslo.
Dalam pada itu, mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif di Tirana belum memutuskan permohonan LaLiga dan Serie A untuk menganjurkan perlawanan liga di luar negara.
UEFA menegaskan pihaknya akan mengadakan rundingan bersama semua pihak berkepentingan termasuk penyokong sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.-REUTERS
