LONDON, 12 September - Persatuan Bola Sepak England (FA) mengenakan 74 pertuduhan terhadap Chelsea pada Khamis (11 September) melibatkan pelanggaran peraturan berkaitan agen, perantara serta pelaburan pihak ketiga dalam pemain.
FA dalam kenyataan memaklumkan, kesalahan yang menjadi subjek pertuduhan itu melibatkan tempoh antara 2009 hingga 2022, khususnya sepanjang musim 2010-11 hingga 2015-16.
Bagaimanapun, FA tidak memperincikan butiran pertuduhan tersebut.
Chelsea dalam reaksi balas menjelaskan, isu berkenaan telah dilaporkan sendiri oleh kelab selepas pertukaran pemilikan pada Mei 2022.
Ketika itu, Chelsea dimiliki Roman Abramovich yang kemudiannya menjual kelab tersebut berikutan sekatan susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Jualan tersebut diselesaikan kepada konsortium yang diketuai Todd Boehly dan Clearlake Capital.
“Semasa proses penelitian teliti sebelum pembelian, kumpulan pemilik baharu menyedari kemungkinan terdapat laporan kewangan yang tidak lengkap melibatkan urus niaga terdahulu serta potensi pelanggaran peraturan FA.
“Sebaik sahaja pembelian selesai, kelab melaporkan perkara ini kepada semua badan pengawal selia berkaitan termasuk FA.
“Kelab juga telah menunjukkan tahap ketelusan yang luar biasa sepanjang proses ini dengan memberikan akses penuh kepada fail serta data sejarah kelab. Kami akan terus bekerjasama dengan FA bagi menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” jelas Chelsea dalam kenyataan rasmi.- REUTERS
