fb fb fb fb fb

Tang Jie-Ee Wei terkandas di separuh akhir Terbuka Malaysia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Januari- Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei gagal menampilkan persembahan terbaik apabila terkandas di peringkat separuh akhir Terbuka Malaysia.

Pasangan nombor lima dunia itu terlepas tiket ke final selepas tewas di tangan gandingan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Saingan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu menyaksikan gandingan negara tumpas 21-19 dan 21-14 dalam tempoh 50 minit.

Pasangan negara itu bermula baik di set pertama namun mereka gagal mengekalkan prestasi baik apabila melakukan banyak kesilapan mudah.

Ia sekali gus membenarkan gandingan China bangkit dan menamatkan aksi dengan kemenangan.

Pada set kedua masih mengekalkan corak permainan yang sama sebelum dikejar pasangan China yang sekali gus mendominasi set berkenaan untuk mara ke final.

Dalam pada itu, pasangan beregu negara itu mengakui banyak melakukan kesilapan di pentas separuh akhir itu.

Jelas Tang Jie mereka telah memberikan aksi dan perancangan yang terbaik namun ia masih tidak mencukupi.

"Hari ini, memang kita sudah merancang dengan baik, tetapi perincian masih belum dibuat dengan sempurna. Itulah yang saya rasa," katanya.

Dalam pada itu Ee Wei juga mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki bagi perlawanan yang akan datang.

"Kita masih perlu banyak belajar daripada pemain-pemain terbaik. Sudah tentu, kita masih belum cukup bagus, dan kekalahan hari ini memang mengecewakan. Saya juga ingin memohon maaf kepada peminat-peminat," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM