fb fb fb fb fb

Moyes kembali kemudi Everton buat kali kedua

Bekas pengurus Everton, David Moyes kembali sertai pasukan berkenaan selepas 12 tahun /Foto REUTERS

LONDON, 12 Januari-Kelab bergelut, Everton mengumumkan pelantikan David Moyes sebagai pengurus kelab berkenaan pada Sabtu.

Moyes, yang sebelum ini mengendalikan Everton dari tahun 2002 hingga 2013, kembali ke kelab itu selepas Sean Dyche dipecat pada Khamis.

Menurut laporan media, Moyes 61 tahun, menandatangani kontrak selama dua setengah tahun bersama kelab berkenaan.

"Sungguh hebat dapat kembali. Saya menikmati 11 tahun yang indah dan berjaya di Everton.

"Saya tidak teragak-agak apabila ditawarkan peluang untuk kembali," kata Moyes dalam satu kenyataan.

Everton, yang kini bergelut di kedudukan ke-16 Liga Perdana, tidak mencatat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir mereka dan hanya berada satu mata di atas zon penyingkiran.

Kelab itu, yang baharu diambil alih oleh Friedkin Group bulan lalu, juga dijangka berpindah ke stadium baharu pada akhir tahun ini.

"Kami gembira kerana David menyertai kami pada waktu penting dalam sejarah Everton," kata pengerusi eksekutif Everton, Marc Watts.

"Dengan lebih sedekad pengalaman di kelab ini, beliau adalah pemimpin yang tepat untuk membawa kami melalui musim terakhir di Goodison Park dan ke stadium baharu kami.

"Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan David bagi membina asas era baharu untuk Everton", katanya.

Moyes, yang pernah membawa Everton ke final Piala FA pada tahun 2009, telah menguruskan lebih 500 perlawanan bersama kelab itu sebelum meninggalkan mereka untuk menyertai Manchester United.

Selepas itu, beliau pernah mengendalikan Real Sociedad, Sunderland, dan West Ham United, menyaksikan beliau memenangi Liga Konferens UEFA bersama kelab tersebut.

"Saya teruja untuk bekerjasama dengan Friedkin Group, dan saya berharap dapat membantu mereka membangunkan semula kelab ini," tambah Moyes.

"Sekarang, kami memerlukan sokongan Goodison dan semua peminat Everton untuk memberi semangat kepada pemain dalam musim penting ini agar kami dapat berpindah ke stadium baharu sebagai pasukan Liga Perdana."

Everton dijadualkan menentang Aston Villa pada hari Rabu dalam perlawanan liga seterusnya.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD