fb fb fb fb fb

Tang Jie-Ee Wei berdepan misi wajib menang, untuk layak ke separuh akhir

Foto FB BAM

HANGZHOU, 15 Disember- Gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bakal berdepan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada aksi seterusnya dalam kempen Jelajah Akhir BWF Hangzhou 2023, hari ini.

Tang Jie-Ee Wei berdepan misi wajib menang ke atas pasangan Thailand pada aksi terakhir kumpulan bagi mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Aksi pusingan ketiga itu bakal berlangsung pada pukul 10.50 pagi ini di Gimnasium Olimpik Hangzhou.

Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei berjaya menundukkan pasangan nombor dua dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun 12-21, 21-16 dan 21-16.

Kemenangan itu adalah yang pertama dilakar pasangan ranking ke-8 dunia itu ke atas Watanabe-Higashino dalam tiga pertemuan.

Sementara itu, wakil beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan wakil China, Liang Wei Kang-Wang Chang untuk pusingan ketiga sebagai penentuan tempat ke-3 dan ke-4 kumpulan.

Aaron Chia-Wooi Yik yang diundi dalam kumpulan 'maut' tewas kepada wakil Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dan satu lagi wakil China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM