fb fb fb fb fb

Arif Aiman, disenarai antara bintang tumpuan Piala Asia - FIFA

Foto FIFA

KUALA LUMPUR, 15 Disember- Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengiktiraf pemain muda Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi sebagai antara bintang tumpuan menjelang perlawanan Piala Asia Qatar 2024, tahun depan.

Arif Aiman disenarai bersama empat lagi bintang iaitu Junya Ito (Jepun), Cho Gue-sung (Korea Selatan), Harry Souttar (Australia) dan Harib Abdalla (UAE).

FIFA dalam artikelnya menjelaskan bahawa Malaysia telah merekodkan keputusan memberangsangkan selepas menerima sentuhan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-Gon sekali gus dilihat sebagai kuasa baharu di Asia Tenggara.

"Harimau Malaya hanya memenangi tiga daripada 10 perlawanan mereka sebelum ketibaan jurulatih Korea, Kim Pan-gon, tetapi kemudian 18 daripada 27 perlawanan mereka.

Mereka juga telah membuat permulaan yang baik untuk kelayakan Piala Dunia 2026 dengan memenangi dua perlawanan pertama Kumpulan D.

Paling ketara, mereka bangkit daripada ketinggalan 3-1 dengan baki 20 minit pada perlawanan pembukaan menentang Kyrgyzstan untuk menang 4-3.

Tunjang kejayaan itu ialah Arif Aiman, yang memberikan tiga bantuan dalam kemenangan dramatik itu," lapor artikel itu.

Pemain berusia 21 tahun itu telah beraksi bersama gergasi Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT), meledak lapan gol dan 13 assist dalam 23 perlawanan musim ini.

"Dia menjadi terkenal selepas menjaringkan gol dalam perlawanan persahabatan menentang Borussia Dortmund akhir tahun lalu dan telah meningkat secara berterusan untuk menjadi salah satu prospek paling menarik di Malaysia," tambah artikel itu.

Piala Asia akan berlangsung pada Januari 2024 di Qatar, dengan Malaysia bakal berdepan Jordan pada perlawanan pertama.

Malaysia telah diundi dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM