fb fb fb fb fb

Tan Cheng Hoe waspada dengan taktik NSFC

SHAH ALAM, 5 November - Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe enggan meletakkan pasukannya sebagai pasukan pilihan pada pertemuan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium MBPJ, esok.

Menurut bekas jurulatih kebangsaan itu, skuad Hobin Jang Hobin ketika ini memiliki pemain berkualiti yang mampu memberi kesukaran buat anak buahnya.

"Peluang bermain di Stadium MBPJ ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mendapat keputusan yang meyakinkan sebagai bekalan ke perlawanan timbal balik nanti. Kita pun sentiasa berjaga-jaga apabila kita menyerang, kerana kita tahu kekuatan NSFC ialah serangan 'counter attack' mereka," kata Cheng Hoe kepada RTM.

Sementara itu, pemain pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab berharap episod hitam tewas 2-3 kepada Negeri Sembilan dalam saingan Piala FA tidak berulang.

"Ini ialah bola sepak. Jika anda terleka dalam tempoh 90 minit, peluang kalah itu ada. Bagaimanapun, kita akan memberi fokus sepenuhnya dan bawa pulang apa yang kita mahukan dalam perlawanan ini," kata Yazan.


(Pemain pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab)

Selangor FC bakal berdepan skuad kendalian K.Devan pada esok selepas beraksi cemerlang dalam dua perlawanan berdepan Kelantan United dengan kemenangan aggregat 3-0.

 

Media Baharu