fb fb fb fb fb

Aaron Chia-Soh Wooi Yik juara Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2025

Foto BERNAMA

SINGAPURA,1 Jun - Pemain beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya meraih gelaran juara pada kejohanan badminton terbuka Singapura 2025.

Gandingan diranking kedua dunia itu berjaya menundukan pemain beregu Korea Selatan, Kim Won Ho- Seo Seung Jae di pentas final hari ini.

Saingan yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura itu menyaksikan pemenang pingat gangsa olimpik Paris itu terpaksa bekerja keras sebelum menoktahkan kemenangan mereka.

Pada set pertama pasangan negara dilihat bermula dengan perlahan sekaligus memberi peluang kepada gandingan Korea Selatan untuk menang dengan mata 21-15.

Namun pada set seterusnya Aaron-Wooi Yik menunjukan semangat juang yang tinggi apabila bangkit menang dengan mata 21-18.

Pada set penentuan mereka berjaya mengekalkan memomentum cemerlang dengan menampilkan corak permainan yang agresif sebelum mengesahkan kejuaraan dengan mata 21-19.

Kejayaan itu bukan sahaja menghadiahkan mereka gelaran ketiga musim ini, malah menyaksikan pasangan negara itu melunaskan dendam terhadap lawan berkenaan yang menyingkirkan mereka di separuh akhir Terbuka India, Januari lalu.

Lebih manis, ia juga menamatkan kemarau 17 tahun Malaysia untuk muncul juara beregu lelaki di Terbuka Singapura sejak kali terakhir dimenangi pasangan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada edisi 2008.

Selaku juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$74,000 (RM314,997), manakala Won Ho-Seung Jae menerima AS$35,000 (RM148,985) selaku naib juara.

Ini adalah gelaran ketiga musim ini buat mereka selepas menjulang Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Thailand.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN