MANCHESTER, 5 November - Pengurus Manchester City, Pep Guardiola meluahkan rasa lega selepas peledak berbisanya, Erling Haaland dilihat semakin pulih dan mungkin diturunkan pada aksi dengan Fulham, malam ini.
Guardiola sebelum ini enggan mengambil risiko menurunkan Haaland pada pertemuan Liga Juara-Juara menentang Sevilla Rabu lalu.
Ini kerana penyerang Norway tersebut mengalami kecederaan ketika menentang bekas kelabnya, Borussia Dortmund dalam kempen sama seminggu sebelum itu.
Haaland yang membuat penampilan sulung di EPL selepas menyertai City musim ini, telah meledak 22 gol dalam semua kejohanan.
Sentuhannya pasti ditagih buat The Citizens yang kini ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Arsenal.
Bagaimanapun, juara musim lalu itu akan turun menentang Fulham tanpa kelibat Kalvin Phillips dan Kyle Walker yang masih belum cergas sepenuhnya.-REUTERS
(Penyerang kelahiran Norway, Erling Haaland kembali beraksi setelah pulih daripada kecederaan/AFP)