fb fb fb fb fb

SUPER GT Malaysia Festival 2025 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang

Foto RTM

KUALA LUMPUR,1 Jun - Perlumbaan berprestij Jepun, AUTOBACS SUPER GT kembali mewarnai pentas sukan permotoran Malaysia selepas 12 tahun, menerusi penganjuran semula SUPER GT Malaysia Festival 2025 di Litar Antarabangsa Sepang, bermula 26 hingga 28 Jun ini.

Festival selama tiga hari itu bakal menyajikan aksi sengit jentera GT500 dan GT300 yang terkenal di Jepun, disertai penyertaan istimewa pelumba wildcard negara Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva dalam kategori GT300.

Menurut penganjur Fahrizal Hasan, mengikut perancangan asal, kejohanan tersebut sepatutnya dianjurkan pada tahun 2020 namun terpaksa dilupakan susulan pendamik COVID-19.

"Pelan asal kita mahu bawakan kembali SUPER GT ini pada tahun 2020 dan kita telah pun membuat pelancaran pada tahun tersebut. Tetapi malangnya COVID melanda dan kita terpaksa tangguhkan 5 tahun. Jadi kami harap tahun ini semuanya dapat berjalan dengan lancar," katanya.

SUPER GT Malaysia Festival 2025 dianjurkan oleh HARO Sports & Entertainment bersama Mastercard dan UMW Toyota Motor, dengan sokongan Tourism Malaysia dan Tourism Selangor, sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Selangor 2025.

Tambah meriah, festival turut menampilkan perlumbaan sokongan GR86 Cup, pusingan kedua Vios Challenge Musim Kelapan, serta konsert yang menghimpunkan barisan artis antarabangsa seperti dan tempatan.

Dalam pada itu penganjur menyasarkan kehadiran lebih 20 ribu pengunjung bagi menyaksikan perlumbaan berprestij itu nanti.

Ketika ini sebanyak 11 ribu tiket telah terjual, tanda sambuatan hangat dari peminat sukan empat roda negara.

Sebagai pelengkap pengalaman, peminat yang membeli tiket yang menepati syarat berpeluang menyertai cabutan bertuah untuk memenangi sebuah Toyota GR Supra bernilai RM650,000, dengan pemenang akan diumumkan secara langsung semasa konsert penutup festival.

Tiket dan maklumat lanjut boleh diperoleh di www.supergtmalaysia.com.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN