THAILAND, 1 Jun - Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) terus mencuri tumpuan dalam saingan GT World Challenge Asia, apabila Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim bersama rakan sepasukan dari Britain, Ben Green, meraih kemenangan kedua musim ini pada Pusingan Keenam di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand.
Beraksi cemerlang dalam jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R, gandingan itu berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu selepas bermula dari petak utama yang ditentukan oleh Green dalam sesi kelayakan.
Tunku Abdul Rahman kemudian meneruskan tugas dengan tenang untuk menahan tekanan pelumba di belakang, sekaligus menamatkan perlumbaan di tempat pertama dalam kategori Pro-Am, selepas menamatkan pusingan kelima sehari sebelumnya di tempat kedua.
Hasil dua keputusan podium tersebut, Tunku Abdul Rahman kini mendahului carta keseluruhan pemandu GT World Challenge Asia dengan kelebihan 62 mata menjelang pertengahan musim.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa jentera kedua pasukan, dikendalikan oleh Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim bersama pemandu Australia, Jordan Love.
Meskipun bermula cemerlang dengan kelayakan ketiga terpantas, masalah mekanikal termasuk kegagalan brek belakang memaksa mereka menamatkan perlumbaan lebih awal pada Ahad, manakala penalti pada Sabtu menyaksikan mereka sekadar di tempat kelapan.
Pusingan seterusnya GT World Challenge Asia dijadual berlangsung di Litar Fuji, Jepun pada 11 hingga 13 Julai.