KUALA LUMPUR, 22 September - Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mencipta sensasi apabila melangkah ke final Terbuka China di Changzhou hari ini.
Gandingan yang baru dinobatkan sebagai Juara Terbuka Jepun bulan lepas itu diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan dan hanya memerlukan 43 minit untuk menumpaskan pasangan dari Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-14, 24-22 pada aksi separuh akhir.
Kejayaan itu menyaksikan satu lagi wakil negara berjaya menempah tiket ke final kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1,000 itu selepas beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai menundukkan pasangan tuan rumah Cheng Xing-Zhang Chi 21-18, 21-18.
Di pentas final esok, Sze Fei-Nur Izzuddin perlu menewaskan pasangan tuan rumah He Ji Ting-Ren Xiang Yu untuk merangkul kejuaraan kedua musim ini.
He dan Ren yang diletakkan sebagai pilihan kelima mara ke final selepas mengetepikan satu lagi gandingan negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-18, 21-11.
Sebagai rekod, hujung bulan lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan menerima permohonan Sze Fei-Nur Izzuddin untuk bergerak secara profesional bermula 1 Sept.
Gandingan legenda adik-beradik Datuk Seri Jalani-Datuk Razif Sidek muncul pasangan beregu lelaki negara terakhir menjuarai Terbuka China pada 1989.
- BERNAMA