BAD HOMBURG, 27 Jun- Pilihan keempat, Iga Swiatek, menunjukkan ketenangan luar biasa apabila mencatat kemenangan 6-4, 7-6(5) ke atas pemain Rusia, Ekaterina Alexandrova dalam separuh akhir Kejohanan Bad Homburg selepas diberikan masa rehat selama satu jam susulan hujan.
Pemain dari Poland itu, meraih set pertama selepas berjaya melakukan dua break ke atas Alexandrova, namun permainan tergendala pada pertengahan set kedua akibat hujan.
Swiatek berkata strategi itu nyata berkesan apabila beliau mengekalkan servis sepanjang set kedua dan memenangi perlawanan menerusi tie-break.
Beliau bakal berdepan Paolini, yang kini ditumpaskannya dalam kesemua empat pertemuan sebelum ini.
Paolini, finalis Wimbledon tahun lalu, mencatat kemenangan keempat berturut-turut ke atas Beatriz Haddad Maia dengan keputusan 7-5, 7-5 – juga kemenangan pertamanya dalam straight set ke atas pemain Brazil itu – sekali gus mara ke separuh akhir keempat musim ini.
Turut mara ke kelompok empat terakhir ialah pilihan utama, Jessica Pegula, yang terpaksa berhempas pulas dalam tiga set sebelum menewaskan rakan senegara, pilihan kelima Emma Navarro 6-4, 1-6, 6-3.
Pegula akan berdepan pemain muda Czech berusia 20 tahun, Linda Noskova, yang cemerlang menundukkan pilihan ketiga, Mirra Andreeva, 6-3, 6-3.- REUTERS