AMERIKA SYARIKAT, 27 Jun- Hanya berbaki satu perlawanan peringkat kumpulan sebelum tirai saingan kalah mati Piala Dunia Kelab edisi sulung 32 pasukan dilangsungkan di Amerika Syarikat.
Kebanyakan kelab giat membuat persiapan menjelang pusingan seterusnya termasuk Inter Miami.
Walaupun dibarisi pemenang Ballon d’Or lapan kali, Lionel Messi, pasukan kendalian Javier Mascherano itu pada awalnya tidak diberi harapan tinggi untuk melepasi Kumpulan A susulan prestasi hambar dalam Major League Soccer.
Namun, Inter Miami berjaya mengharungi cabaran awal apabila mencatat keputusan seri 0-0 menentang Al-Ahly dari Mesir dalam perlawanan pembukaan.
Mereka kemudiannya mencipta kejutan besar dengan kemenangan 2-1 ke atas juara Eropah dua kali, Porto, dengan Messi menjaringkan gol kemenangan.
Dalam perlawanan ketiga dan terakhir kumpulan, Inter Miami sekadar seri 2-2 menentang Palmeiras selepas melepaskan kelebihan dua gol, sekali gus menamatkan saingan di tangga kedua di belakang kelab Brazil itu.
Keputusan itu mempertemukan mereka dengan juara Kumpulan B dan juara Eropah baharu, Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan 16 akhir.
Perlawanan itu bakal menjadi tumpuan kerana ia menyaksikan Messi menentang bekas kelabnya. Sepanjang dua musim bersama PSG, Messi memenangi dua gelaran Ligue 1 namun mengakui dirinya 'tidak gembira' di Paris susulan hubungan tegang dengan penyokong selepas kegagalan kelab itu menjulang trofi Liga Juara-Juara.
Pertembungan pada Ahad ini turut menyaksikan reunion bekas pemain Barcelona – Luis Suarez, Sergio Busquets, Jordi Alba dan Mascherano – bersama bekas jurulatih mereka, Luis Enrique, yang pernah membawa pasukan Catalan itu merangkul kejuaraan treble bersejarah pada musim 2014/2015.
Sementara itu, gergasi Bundesliga, Bayern Munich berusaha bangkit selepas tewas mengejut 0-1 kepada Benfica, menyaksikan mereka menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan C dengan enam mata.
Mereka bakal berdepan Flamengo dari Brazil, yang menjuarai Kumpulan D selepas menundukkan Chelsea 3-1 dalam satu lagi keputusan mengejut melibatkan kelab Eropah.
Dalam aksi lain, Borussia Dortmund muncul juara Kumpulan F dengan dua kemenangan dan satu seri, seterusnya dijadualkan bertemu Monterrey dari Mexico yang menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan E.- REUTERS