fb fb fb fb fb

Super GT Malaysia: Jazeman sasar hasil terbaik di Sepang

Pelumba profesional negara, Jazeman Jaafar

SEPANG, 27 Jun- Pelumba profesional negara, Jazeman Jaafar, kekal positif menjelang perlumbaan utama esok bagi Pusingan 3 Super GT Malaysia meskipun pasukannya mengambil pendekatan berbeza dalam sesi kelayakan hari ini.

Menurut Jazeman, pasukan memilih untuk meletakkan rakan sepasukannya, Kherong Li, bagi memulakan sesi kelayakan Q1 sebagai sebahagian daripada strategi yang telah dipersetujui bersama.

“Kami mengambil cara yang berbeza. Untuk persiapan perlumbaan esok, kami pilih Kherong Li mulakan Q1. Jadi insya-Allah, rakan sepasukan saya akan memulakan perlumbaan esok. Ini adalah strategi yang pasukan putuskan,” jelasnya.

Tambah Jazeman, fokus utama bukan pada kedudukan kelayakan, sebaliknya keputusan perlumbaan yang lebih penting.

Mengulas prestasi keseluruhan minggu ini, Jazeman menyifatkannya sebagai satu tempoh pembelajaran yang penting, memandangkan ini adalah penampilan sulungnya di Super GT serta kali pertama bekerjasama dengan pembekal tayar Dunlop.

Jazeman juga menyentuh mengenai penggunaan kit aerodinamik (aerokit) terkini pada jentera mereka, yang menurutnya memberikan kelebihan dari segi cengkaman dan kelajuan di selekoh berkelajuan tinggi.

“Aerokit ini seperti direka untuk litar Sepang. Ia beri banyak manfaat daripada segi grip dan high speed corner. Sokongan daripada Aston Martin pun agak kuat sebab kami guna jentera mereka. Insya-Allah ia beri manfaat untuk perlumbaan nanti,” jelasnya.

Menjelang aksi di tanah air, Jazeman turut teruja dengan sokongan padu daripada keluarga dan rakan-rakan yang hadir menyaksikan perlumbaan.

Kali terakhir Jazeman beraksi di Litar Antarabangsa Sepang adalah pada bulan Mac lalu ketika memenangi perlumbaan 12 Jam Sepang bersama pasukan Territory R Harmony Racing menerusi jentera Ferrari.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE