LEICESTER, 27 Jun- Leicester City mengesahkan perpisahan secara persetujuan bersama dengan pengurus pasukan, Ruud van Nistelrooy selepas kelab itu tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Bekas penyerang Manchester United dan Real Madrid itu menyertai Leicester pada November lalu ketika kelab bergelut di tangga ke-16. Namun, beliau gagal menyelamatkan pasukan daripada penyingkiran apabila mereka menamatkan musim di tempat ke-18, 13 mata di belakang zon selamat.
“Ruud telah melalui tempoh mencabar bersama kami. Beliau meninggalkan kelab ini dengan penghargaan dan ucapan terima kasih atas komitmen dan kerja kerasnya," menurut kenyataan kelab.
Sepanjang tempoh kendaliannya, Van Nistelrooy hanya mencatat lima kemenangan dan tidak mampu mengubah nasib Leicester untuk kekal di divisyen utama.
Pengurus berusia 48 tahun itu sebelum ini pernah memenangi Piala Eridivisie bersama PSV Eindhoven dan menyertai barisan kejurulatihan Manchester United bawah kendalian Erik Ten Hag. Selepas Ten Hag dipecat, Van Nistelrooy dilantik sebagai pengendali sementara sebelum digantikan oleh Ruben Amorim.
Dalam kenyataan berasingan, Van Nistelrooy berkata, “Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pemain, jurulatih, staf akademi serta seluruh warga kelab atas profesionalisme dan dedikasi sepanjang tempoh saya di sini.”
Leicester memaklumkan kakitangan kejurulatihan sedia ada akan mengendalikan sesi awal pra-musim sementara menunggu pengumuman pengurus baharu.-REUTERS