SEPANG, 27 Jun- Pelumba profesional negara, Datuk Adrian D’Silva, optimis dengan peluangnya dalam perlumbaan Super GT Malaysia esok walaupun menghadapi sedikit cabaran teknikal ketika sesi kelayakan hari ini.
Bercakap selepas sesi kelayakan, Adrian berkata cuaca yang baik membantu pasukannya mengekalkan prestasi konsisten berbanding sesi sebelumnya.
"Kereta perlumbaan berada dalam keadaan baik seperti semalam, tiada isu besar. Cuma ketika kelayakan saya, ada penggera berbunyi, tapi jurutera saya kata ia bukan sesuatu yang besar dan akan diselesaikan menjelang perlumbaan esok," jelasnya.
Adrian yang kini berganding semula dengan rakan sepasukannya, Dorian Boccolacci, selepas kali terakhir bersama di Gili World Challenge Asia menyifatkan kerjasama mereka kali ini lebih mantap berbanding sebelumnya.
"Kami bermula dari petak ke-12 (P12), bukan kedudukan yang buruk, lebih baik daripada memulakan dari belakang. Tambahan pula, pasukan kami baru menyertai Super GT buat kali pertama di bawah peraturan baru ini," katanya.
Dorian mengungguli sesi kelayakan pertama (Q1) dengan catatan masa terpantas 2 minit 03.107 saat.
Menariknya, pasukan Adrian merupakan satu-satunya pasukan dalam grid yang menggunakan tayar Michelin, berbeza dengan 33 pasukan lain yang menggunakan jenama berbeza.
"Kami pilih Michelin dan jalankan ujian bersama mereka sebelum ini. Kami percaya pakej kami lengkap dari segi kereta, pemandu dan tayar. Tapi kelebihan sebenar belum dapat dipastikan kerana kami tak cuba tayar lain,” katanya.
Walaupun menyertai perlumbaan menerusi slot Wildcard, Adrian percaya peluang untuk meraih keputusan cemerlang tetap ada.
Ketika mengulas mengenai sasaran untuk perlumbaan sebenar esok, Adrian tidak menolak peluang untuk mencipta kejutan di hadapan penyokong tempatan.
“Kalau boleh tembus lima teratas, itu sudah cukup manis. Kami pun tidak jangka boleh berada di tahap ini kerana tak banyak sesi ujian kami jalani. Tapi kami akan beri yang terbaik,” tambah beliau.
Perlumbaan utama Super GT Malaysia berlangsung esok, dengan ribuan penyokong tempatan dijangka membanjiri Litar Antarabangsa Sepang.