fb fb fb fb fb

Suku akhir Piala Dunia 2022: Portugal bersedia hadapi Maghribi

(Cristiano Ronaldo mengambil bahagian dalam sesi latihan di tapak latihan Al Shahaniya SC di Doha/Ihsan FIFA/AFP)

DOHA, 8 Disember- Cristiano Ronaldo berkata skuad bola sepak kebangsaan Portugal "terlalu bersatu untuk dipecahkan oleh pasukan luar", selepas dia dilaporkan mengancam untuk meninggalkan skuad kerana diletakkan di bangku simpanan ketika menentang Switzerland.

Penyerang berusia 37 tahun itu digugurkan dalam perlawanan peringkat 16 terakhir awal minggu ini, dengan penggantinya, Goncalo Ramos, menjaringkan hatrik dalam kemenangan gemilang menentang Switzerland 6-1.

Laporan akhbar Portugal Record menyebut penyerang itu telah mempertimbangkan untuk meninggalkan pasukan susulan perbualan tegang dengan jurulatih, Fernando Santos.

Tetapi bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United itu menggunakan akaun media sosialnya untuk menegaskan skuad itu kukuh.

"Kami adalah kumpulan yang terlalu bersatu untuk dipecahkan oleh kuasa luar," katanya.

"Pasukan kebangsaan yang terlalu berani untuk membiarkan dirinya digeruni oleh mana-mana musuh. Sebuah pasukan dalam erti kata sebenar, yang akan berjuang untuk impian sehingga ke akhirnya."

Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) sebelum ini menafikan Ronaldo mengancam untuk meninggalkan pasukan.

“FPF menjelaskan bahawa kapten Selecao, Cristiano Ronaldo, tidak pernah mengancam untuk meninggalkan pasukan kebangsaan sepanjang berada di Qatar,” kata persekutuan itu.

Portugal akan berdepan Maghribi di pusingan suku akhir pada Sabtu ini. -AFP

Cristiano Ronaldo dan Pepe (kanan) mengambil bahagian dalam sesi latihan bersama
rakan sepasukan/Ihsan FIFA/AFP)

Media Baharu