fb fb fb fb fb

SUKMA : Silat buka gelanggang, 26 pingat emas jadi rebutan

(Aksi peserta silat)

NILAI, 20 September- Sukan Silat membuka gelanggang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 MSN 2022 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.

Sebanyak 26 pingat emas dipertandingkan bagi 18 kategori olahraga dan lapan kategori seni pencak silat acara lelaki dan wanita.

Ia melibatkan kira-kira 560 orang peserta dari seluruh negara termasuk negara Brunei yang merebut peluang dalam memungut pingat emas.

Menurut Ketua Delegasi Teknikal Pertandingan Pencak Silat SUKMA 2022, Bibi Aishah Golbal Shah, 22 daripada peserta yang berjaya mendapatkan pingat emas akan mewakili negara dalam Kejohanan Pencak Silat Asia yang akan diadakan di Kashmir pada Oktober depan.

"Kalau mereka menang pingat emas Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) akan bawa mereka ke Kejohanan Pencak Silat Asia di Kashmir pada 16 hingga 20 Oktober," katanya.

Dewan Tuanku Canselor USIM digamatkan dengan sorakan padu daripada setiap kontinjen.

Pertandingan hari pertama menyaksikan saingan pertandingan awal dan suku akhir bagi kategori Seni Tunggal, Seni Ganda, Seni Regu dan Seni Solo Kreatif pada sebelah siang manakala saingan pertandingan awal bagi silat olahraga pada sebelah malam.

Saingan dijadualkan berlangsung sehingga 24 September ini.


(Aksi peserta silat)


(Ketua Delegasi Teknikal Pertandingan Pencak Silat SUKMA 2022, Bibi Aishah Golbal Shah)

Media Baharu