fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Malaysia bakal hantar kontinjen terbesar

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Nurul Huda Abdullah / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Oktober -Malaysia bakal tampil dengan kontinjen terbesar dalam sejarah penyertaannya di Sukan SEA apabila menyertai kesemua 50 acara pada edisi Thailand 2025, kata Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Nurul Huda Abdullah.

Beliau menjangkakan lebih 1,000 atlet akan dihantar ke temasya Disember ini.

Namun, jelas beliau, jumlah akhir atlet dan pegawai hanya akan dimuktamadkan pada November.

"Ya, ini akan jadi kontinjen terbesar kerana kita menyertai semua 50 sukan. Angka akhir belum dimuktamadkan, tapi kita jangka lebih 1,000 atlet akan ke Thailand," katanya semasa lawatan ke sesi latihan skuad ping pong kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Mengulas mengenai pelantikan sebagai ketua kontijen, Nurul Huda menyifatkan ia sebagai satu penghormatan besar buat dirinya, selepas pernah berkhidmat sebagai Timbalan CDM pada edisi 2019.

"Ia satu kejutan besar, tetapi juga satu penghormatan untuk dilantik sebagai CDM ke Sukan SEA 2025. Pengalaman saya sebagai Timbalan CDM pada 2019 akan jadi panduan terbaik kali ini," katanya.

Misi beliau turut disokong tiga Timbalan CDM berpengalaman Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, legenda pecut, Nazmizan Muhammad dan bekas pemain hoki negara, Jivan Mohan bagi memastikan segala urusan persediaan berjalan lancar.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD