fb fb fb fb fb

Sukan SEA: Karen-Ai Xin tekad buru emas, tamat kemarau 30 tahun

Tangkap layar status Hannah Yeoh/Facebook Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 1 Okt - Kejayaan bersejarah menjadi wakil Malaysia pertama merangkul gelaran Jelajah Dunia pada Kejohanan World Table Tennis Feeder Vientiane 2025 di Laos Ogos lepas membakar semangat beregu wanita negara, Karen Lyne-Tee Ai Xin, memburu emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

Karen optimis pencapaian itu mampu menamatkan kemarau emas lebih 30 tahun dalam acara berkenaan, memandangkan jurang prestasi mereka dengan pencabar serantau semakin mengecil sejak kebelakangan ini.

“Saya rasa prestasi kami semakin meningkat. Cabaran memang sukar, namun kami akan cuba memberikan yang terbaik.

"Tahun ini juga kami banyak menyertai kejohanan luar, dan itu membantu meningkatkan prestasi kami,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025 Nurul Huda Abdullah, di venue latihan skuad ping pong kebangsaan di sini, hari ini.

Ai Xin turut mengakui amat gembira kerana berjaya menghadiahkan gelaran sulung Jelajah Dunia buat negara, yang secara tidak langsung meningkatkan motivasi mereka untuk memburu lebih banyak kejayaan membanggakan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, jurulatih negara Beh Lee Wei menyasarkan anak buahnya membawa pulang emas pada Sukan SEA 2025.

Katanya, selain acara beregu wanita, saingan berpasukan lelaki dan wanita juga berpotensi menyumbang emas buat negara dari Thailand, sekali gus memperbaiki pencapaian tiga perak dan dua gangsa pada edisi lepas di Kemboja.

Pasangan beregu wanita Phua Bee Sim-Chong Choi Thing menjadi wakil negara terakhir meraih emas pada Sukan SEA 1991 di Manila.

Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini, melibatkan tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla. - BERNAMA

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD