fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Karen-Ai Xin sandaran skuad pingpong buru emas

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 Oktober - Skuad pingpong negara kini berada di fasa akhir persiapan dan bersedia untuk menamatkan kemarau emas yang selama lebih tiga dekad di pentas Sukan SEA di Thailand, Disember ini.

Harapan tersebut disandarkan kepada gandingan Tee Ai Xin - Karen Lyne yang baru sahaja mencipta sejarah apabila menjuarai gelaran beregu wanita di Kejohanan World Table Tennis (WTT) Feeder Vientiane di Laos bulan lalu.

"Kali pertama kami menang Jelajah Dunia memang gembira. Tapi ini juga satu preparation yang menyuntik semangat dan keyakinan kami menjelang Sukan SEA,” kata Ai Xin ketika ditemui semasa sesi latihan di Majlis Sukan Negara hari ini.

Sementera itu, jurulatih skuad pingpong negara, Beh Lee Wei pula melihat momentum itu sebagai pembakar semangat keseluruhan pasukan, selepas Malaysia hampir mengejutkan Singapura dan Thailand pada edisi terdahulu di Kemboja.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan pingpong negara banyak menunjukkan peningkatan. Ia turut meningkatkan keyakinan atlet. Walaupun kita tak jangka boleh mara ke final dalam kejohanan antarabangsa, setiap kemenangan membantu membina semangat dan keyakinan mereka," katanya

Bagaimanapun, beliau akui cabaran utama tetap hadir daripada Singapura yang dianggap kuasa besar ping pong Asia Tenggara, selain pasukan tuan rumah, Thailand.

Selain gandingan Ai Xin-Lyne, skuad lelaki dan wanita negara turut diperkuatkan dengan gabungan pemain senior dan muka baharu, dengan misi sekurang-kurangnya menghadiahkan satu pingat emas buat negara.

Terdahulu, pada edisi Sukan SEA Kemboja 2023, skuad pingpong negara berjaya membawa pulang tiga pingat perak selain dua gangsa.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD