fb fb fb fb fb

Matteo Malucelli raih kemenangan ketiga Peringkat 4 LTDL

Foto LTDL 2025

KEMAMAN, 1 September – Pelumba pasukan World Team, Matteo Malucelli terus unggul selepas meraih kemenangan ketiga dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang memasuki Peringkat 4 dari Kuala Terengganu ke Kemaman, hari ini.

Pelumba berusia 31 tahun dari pasukan XDS Astana itu menamatkan saingan beramai-ramai dengan catatan tiga jam 17 minit 56 saat, mengatasi pelumba Team Polti VisitMalta, Manuel Penalver, dan Uno-X Mobility, Erlend Blikra.

Kemenangan itu melengkapkan hatrik selepas beliau muncul juara di Peringkat 1 di Langkawi dan Peringkat 3 dari Gerik ke Pasir Puteh semalam.

Malah, Malucelli kekal menyarung jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan masa terkumpul 13:15:45 saat, selain terus menguasai jersi jingga Raja Pecut dengan 57 mata, meninggalkan Blikra dengan kelebihan 24 mata.

Tiada perubahan bagi jersi lain apabila Patrick Eddy (Team Picnic Postnl) masih Raja Bukit dengan 15 mata, manakala Vadim Pronskiy (Terengganu Cycling Team) mengekalkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia.

Esok, saingan memasuki Peringkat 5 dari Temerloh ke Fraser’s Hill sejauh 123.1 kilometer yang dijangka menjadi ujian pendakian penting dengan tiga zon pecutan dan dua zon mendaki.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN