fb fb fb fb fb

SUKMA 2022: Yiwen tamatkan dominasi lapan tahun Kedah 

KUALA LUMPUR, 20 September - Pemain skuasy negara, Chan Yiwen menamatkan dominasi Kedah selama lapan tahun dalam acara perseorangan wanita, apabila menewaskan rakan sepasukan, Aira Azman di pentas final.

Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan Yiwen menebus kekecewaannya pada final Sukma 2018 di Perak, selepas tewas kepada kakak Aira, iaitu Aifa Azman.

Yiwen menewaskan Aira dalam satu pertarungan sengit 11-3, 8-11, 3-11, 11-5 dan 11-4 di Pusat Skuasy, Jalan Duta pagi Selasa.

"Pada set kedua saya dah mula hilang kawalan sebab saya memang rasa tak sihat, tapi bila saya bercakap dengan skuad saya yang lain, mereka memberi semangat dan saya bangkit pada set keempat dan kelima.

"Semua finalis adalah dari Kedah, dan saya rasa ini merupakan peluang terbaik saya untuk curi pingat emas buat WiPers dan saya berjaya lakukannya,” katanya kepada pemberita.

(Atlet skuasy WiPers, Chan Yiwen berjaya menamatkan dominasi Kedah
selama lapan tahun acara perseorangan wanita di SUKMA untuk
menghadiahkan pingat emas buat kontinjen WiPers
pada hari ini/FOTO Facebook Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP)

Pemain dari Wilayah Persekutuan (Wipers) mengakui berpuas hati dengan pertarungan hari ini kerana mampu menyumbang emas buat kontinjen Wilayah Persekutuan.

Pingat gangsa menjadi milik Wen Li Lai daripada Sabah selepas pencabarnya, Noor Ainaa Amani Ampandi dari Wilayah Persekutuan menarik diri akibat kecederaan. 

Sebelum ini, Kedah mendominasi acara perseorangan wanita bermula di Sukma Perlis 2014 serta Sukma Sarawak 2016 menerusi S. Sivasangari, seterusnya menerusi kejayaan Aifa di Sukma Perak 2018.

Dalam kategori lelaki pula, pemain Kedah, Ong Sai Hung mengungguli emas selepas menumpaskan rakan sepasukan, Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif 11-7, 11-5, 5-11 dan 11-6.

Manakala gangsa menjadi milik pemain Negeri Sembilan, J. Sanjay yang menundukkan rakan sepasukan P. Darren Rahul.

Media Baharu