JOHOR BAHRU, 1 Oktober - Enam negara mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun yang bakal berlangsung pada 11 hingga 18 Oktober ini bagi merebut Piala Sultan Johor (SOJC) 2025.
Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata SOJC adalah agenda penting dalam usaha kerajaan negeri mempromosikan gaya hidup aktif serta meletakkan Johor sebagai hab sukan terkemuka di rantau ini.
"Kelebihan SOJC tahun ini, lima negara atau enam negara yang hadir pada pertandingan ini akan menguji perlawanan perlawanan persahabatan dengan atlet atlet sukma Johor serta berkongsi pengalaman dan idea dengan pelajar-pelajar sekolah," katanya.
Tambahnya, selain perlawanan, sesi perkongsian akan turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar dan para atlet khususnya atlet Sukma.
Ia bersesuaian dengan program Majlis Sukan Negeri Johor yang menetapkan setiap pasukan negara yang bertanding mengadakan perlawanan persahabatan bersama skuad hoki negeri Johor sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor tahun hadapan.
Selain tuan rumah Malaysia, lima negara lain yang bakal berentap pada edisi ke-13 SOJC ialah juara bertahan, Great Britain; naib juara tahun lalu, Australia selain India, New Zealand dan Pakistan.