KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu penggantungan yang dikenakan badan induk dunia itu.
Dalam satu kenyataan dilaman facebook FAM Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman, memaklumkan proses rayuan hanya akan dimulakan selepas dokumen rasmi berkenaan diterima.
Buat masa ini, FAM tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut sehingga keseluruhan proses rayuan selesai.
FIFA sebelum ini mengenakan tindakan penggantungan terhadap FAM susulan isu pendaftaran dan kelayakan pemain naturalisasi.
Langkah itu menimbulkan kebimbangan kerana boleh memberi kesan langsung kepada penyertaan skuad kebangsaan dalam kejohanan antarabangsa termasuk Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.
Penggantungan berkenaan juga memberi tekanan kepada usaha pembangunan bola sepak negara kerana membabitkan reputasi FAM selaku badan induk yang bertanggungjawab terhadap hala tuju bola sepak Malaysia.