fb fb fb fb fb

SUKMA Selangor: Lokasi perasmian & penutup belum muktamad

FOTO BERNAMA

PETALING JAYA, 15 Januari- Kerajaan Selangor belum memuktamadkan lokasi utama majlis perasmian dan penutup Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan belum dicapai selepas Stadium Shah Alam yang masih dalam proses pembinaan.

Bagaimanapun, beberapa lokasi bersesuaian telah dicadang bagi acara sukan dwitahunan itu.

"Kalau ikut jadual pembinaan Stadium Shah Alam akan disiapkan pada suku pertama 2027. Tetapi kita tidak mahu tergesa-gesa dalam proses penyiapan itu kerana ia boleh sebabkan kualitinya terganggu.

"Kita akan bincang bersama pihak pembangunan stadium mengenainya dan menyenaraikan beberapa pilihan seperti Stadium Merdeka, Stadium Nasional Bukit Jalil atau secara tertutup di Stadium Malawati," katanya.

Jelas Amirudin, mesyuarat pertama persediaan penganjuran SUKMA itu akan berlangsung Isnin depan bagi meneliti secara keseluruhan persiapan Sukma.

Keputusan lokasi utama SUKMA itu akan dimuktamadkan kemudian sejurus meneliti persiapan lain seperti jumlah acara sukan yang akan dipertandingkan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE