NILAI, 15 Januari- Pelumba berbasikal trek pelapis wanita negara Khairunnisa Aleeya Saifulnizam mempamerkan kayuhan bertenaga untuk memenangi perlumbaan scratch elit wanita pada Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1 di Velodrom Nasional, di sini hari ini.
Pelumba berusia 20 tahun yang juga pemenang pingat emas acara berbasikal lebuh raya wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 itu mengatasi Valencia Tan dari Singapura yang merangkul perak dan Kim Minjeong dari Korea Selatan meraih gangsa.
Acara scratch wanita melibatkan perlumbaan sebanyak 40 pusingan sepanjang 10 kilometer (km).
Lebih menarik, atlet dari Kota Tinggi, Johor, itu juga meninggalkan pelumba berpengalaman yang pernah bersaing pada Sukan Olimpik Paris 2024, Nur Aisyah Muhamad Zubir yang menamatkan saingan di tempat keempat.
Khairunnisa mengakui pencapaian hari ini sememangnya di luar jangkaannya, apatah lagi baharu setahun menyertai skuad pelapis kebangsaan.
“Saya cuba dan rebut peluang gunakan kekuatan untuk lepaskan diri dari kelompok pelumba lain, saya cuba buat henjutan pada baki 20 pusingan terakhir.
“Selepas SUKMA, pencapaian hari ini boleh dikira satu lagi peningkatkan bagi saya, namun jauh lagi perjalanan saya,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.
Khairunnisa turut mengesahkan akan menyertai siri kedua kejohanan pada 18 dan 19 Jan di sini, termasuk menyertai acara omnium wanita.
Sementara itu, Olimpian Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meneruskan kecemerlangan apabila meraih emas keduanya menerusi acara keirin elit wnaita hari ini menewaskan dua wakil Korea Selatan, Kim Haeun serta Cho Sunyoung, yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.
Kang Seojun pula muncul juara keirin elit lelaki mengatasi dua pelumba negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Mohd Akmal Nazimi Jusena, masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.- BERNAMA