fb fb fb fb fb

127 pemain sertai Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2025

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari

PETALING JAYA, 15 Januari- Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2025 menerima jumlah penyertaan memberangsangkan dengan 127 pemain remaja elit dari 14 negara, yang akan memulakan cabaran esok.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kejohanan yang memasuki edisi keempat tahun ini turut mendapat penyertaan dari Hong Kong dan Jepun.

“Secara keseluruhan kita ada 91 pemain remaja antarabangsa dan Malaysia kita ada 36 (pemain remaja).

“Kejohanan ini juga menawarkan dua tempat untuk beraksi di Selangor Masters untuk juara dan pemain terbaik Malaysia,” pada sidang media Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa dan PKNS Selangor Masters 2025 di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata jumlah hadiah bagi PKNS Selangor Masters 2025 yang berlangsung pada 22 hingga 25 Januari ini, meningkat kepada AS$200,000 berbanding AS$175,000 sebelumnya.

Beliau berkata kejohanan pembukaan musim bagi Jelajah Pembangunan Asia (ADT) dan Jelajah Golf Profesional Malaysia dijangka kompetitif dengan kehadiran beberapa nama besar termasuk wakil negara Danny Chia dan pemenang kejohanan golf Maybank Malaysia 2016 Marcus Fraser dari Australia.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE