KUALA LUMPUR, 15 Januari-Raja Pecut Asia Tenggara 2017, Khairul Hafiz Jantan beri bayangan sedia bersara sekiranya tidak layak ke Sukan SEA di Thailand tahun ini.
Beliau yang sering dilanda kecederaan perlu menyerlah di Kejohanan Terbuka Malaysia sekiranya mahu beraksi di temasya dwi-tahunan itu.
Bagaimanapun, atlet berusia 26 tahun yang sering dibelenggu kecederaan itu enggan terlalu berharap kerana sedar keadaan fizikalnya tidak berada pada tahap terbaik.
Jelas Khairul Hafiz, sekiranya gagal, beliau sedia untuk menamatkan karier 10 tahun sebagai atlet bagi memberi peluang kepada pelapis baharu.
Beliau yang terkenal dengan julukan The Speedy Jantan mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan penantian emas 14 tahun Malaysia dalam acara reben biru pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
Khairul Hafiz yang ketika itu berusia 19 tahun merekodkan 10.38 saat, menewaskan juara bertahan Eric Cray dari Filipina yang mencatat 10.43 saat.