LONDON, 15 Januari- Pengurus Manchester City,Pep Guardiola berkata kekurangan terhadap penguasaan bola mengakibatkan kelab berkenaan seri 2-2 ketika menentang Brentford meskipun mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Pada perlawanan berkenaan, dua jaringan Phil Foden meletakkan juara bertahan Liga Inggeris itu di landasan untuk meraih kemenangan keempat berturut-turut selepas prestasi hambar dengan hanya satu kemenangan dalam 13 perlawanan.
Namun, kelemahan di bahagian pertahanan dan kegagalan mengekalkan kelebihan telah menjadi masalah utama untuk pasukan bimbingan Guardiola musim ini.
Brentford mencipta peluang sepanjang permainan dan memanfaatkannya dalam 10 minit terakhir melalui Yoane Wissa dan Christian Norgaard untuk meraih satu mata.
"Taktikal bola tinggi (Long Ball) kami menang, tetapi kami tidak membuat keputusan yang tepat," kata Guardiola.
"Mungkin itu akan berbeza tetapi pada masa yang sama mereka mempunyai peluang. Penyerang mereka (Brentford) sangat bagus.
"Wissa dan (Bryan) Mbeumo sangat berbahaya", katanya.
City sekali lagi tanpa Ruben Dias dan John Stones yang cedera, sementara kapten Kyle Walker tidak disenaraikan dalam skuad Guardiola selepas menyatakan hasratnya untuk meninggalkan kelab bulan ini.
"Pada kedudukan 2-0, kami sepatutnya menang tetapi kami tidak mempunyai pemain khusus untuk bertahan di kotak penalti, jadi kami perlu melakukannya dengan mengawal bola," tambah Guardiola.
"Kepenatan menentang Brentford dalam 15 minit terakhir adalah perkara biasa. Saya tidak ada apa-apa untuk disesali.
"Pulih dan teruskan ke perlawanan seterusnya", tambahnya.
Keputusan satu mata meninggalkan City di tangga keenam Liga Perdana Inggeris, dua mata di belakang empat pasukan teratas dan 12 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.-AFP.