MEXICO CITY, 14 Januari-Kapten Colombia, James Rodriguez, telah menyertai kelab Liga MX Mexico, Club Leon, dari kelab LaLiga, Rayo Vallecano, dengan perpindahan percuma, menurut pengumuman kedua-dua pasukan pada Isnin.
Media tempatan melaporkan Rodriguez telah menandatangani kontrak selama satu tahun dengan pilihan untuk lanjutan satu musim.
Pemain tengah itu menyertai Rayo musim ini di La Liga sebagai ejen bebas selepas kempen cemerlang di Copa America, menyaksikan Colombia tewas di final kepada Argentina.
"Rayo Vallecano de Madrid dan Club Leon dari Mexico telah mencapai persetujuan untuk perpindahan James Rodriguez," kata kelab Sepanyol itu dalam satu kenyataan.
Mereka tidak memberikan butiran lanjut mengenai perjanjian tersebut.
"Daripada pihak kelab, kami mengucapkan semoga berjaya kepada James dalam fasa baharunya," tambah kenyataan itu.
Pemain berusia 33 tahun itu, yang bermain 125 kali untuk Real Madrid dari 2014 hingga 2020, hanya membuat tujuh penampilan untuk Rayo musim ini sebelum menamatkan kontraknya.
Leon, juara Mexico sebanyak lapan kali, memuat naik beberapa imej Rodriguez di akaun media sosial mereka, tetapi juga tidak memberikan butiran mengenai perjanjian tersebut.-REUTERS.