Aston Villa rampas tempat kedua Liga, West Ham tersungkur

LONDON, 4 Januari — Aston Villa bangkit daripada kekalahan memalukan kepada Arsenal dengan menewaskan Nottingham Forest 3-1, sekali gus melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris, ketika West Ham United tewas kepada pasukan tercorot Wolverhampton Wanderers.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aston Villa bangkit menang 3-1 ke atas Nottingham Forest, melonjak ke tangga kedua liga.
  • Ollie Watkins buka jaringan sejurus sebelum rehat dengan rembatan padu dari luar kotak.
  • John McGinn menggandakan dan kemudian menyempurnakan kemenangan selepas kesilapan penjaga gol Forest.
  • Unai Emery adakan pertemuan khas untuk pulihkan tenaga dan keyakinan pasukan selepas tewas kepada Arsenal.
  • West Ham tewas 3-0 kepada Wolves; Wolves raih kemenangan pertama musim ini melalui tiga penjaringan.

Anak buah Unai Emery kembali ke landasan kemenangan selepas rekod 11 perlawanan tanpa kalah mereka terhenti akibat kekalahan 4-1 di Emirates, dengan kemenangan di Villa Park memastikan mereka kini hanya tiga mata di belakang Arsenal.

Penyerang England, Ollie Watkins, membuka jaringan buat Villa sejurus sebelum rehat menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti.

Separuh masa kedua menyaksikan John McGinn menggandakan kelebihan tuan rumah sebelum Forest merapatkan jurang melalui Morgan Gibbs-White.

Bagaimanapun, McGinn memastikan kemenangan Villa dengan gol kedua peribadinya selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol Forest, John Victor, untuk menyumbat bola ke gawang kosong.

Kemenangan itu menyaksikan Villa mengumpul 42 mata, satu mata di depan Manchester City, yang akan menentang Chelsea pada Ahad.

Emery berkata pertemuan khas diadakan bersama pemain dan staf kejurulatihan selepas kekalahan di Arsenal.

“Kami perlu kembalikan tenaga dan keyakinan. Di Villa Park, sokongan dan tenaga penyokong sangat penting,” katanya kepada Sky Sports.

Sementara itu, Forest kekal satu anak tangga di atas zon penyingkiran selepas tewas empat perlawanan liga berturut-turut, manakala West Ham berada empat mata di belakang mereka selepas kekalahan 3-0 di Molineux.

Dalam perlawanan berkenaan, Wolves mencatat kemenangan pertama musim ini hasil jaringan Jhon Arias, Hwang Hee-chan menerusi sepakan penalti dan gol sulung Liga Perdana oleh pemain remaja Mateus Mane.

Di perlawanan lain, Brighton & Hove Albion menewaskan Burnley 2-0 hasil jaringan Georginio Rutter dan Yasin Ayari. – AFP