KUALA LUMPUR, 3 Januari - Juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, dilantik sebagai Duta Jenama Allianz Malaysia Berhad berkuat kuasa 1 Januari.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian luar biasa serta nilai disiplin dan ketabahan yang mereka pamerkan di pentas antarabangsa.
"Pasangan negara itu mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara dunia pada Ogos lalu, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada peminat badminton tanah air menjelang hala tuju ke Sukan Olimpik 2028.
"Menerusi pelantikan itu, Tang Jie–Ee Wei akan terlibat secara aktif dalam pelbagai kempen Allianz Malaysia, khususnya Program Allianz C.E.O. (Kerjaya Kecemerlangan & Peluang) yang memberi fokus kepada pembangunan kepimpinan dan kecemerlangan profesional," menurut kenyataan itu.
Pasangan itu dipilih kerana kejayaan bertaraf dunia memerlukan disiplin, ketahanan dan konsistensi, selari dengan nilai yang diterapkan kepada Allianz Life Changers.
"Sama seperti atlet elit, kejayaan bukan hanya bergantung kepada bakat, tetapi keberanian dan ketabahan untuk terus mara," tambah kenyataan itu.
Logo Program Allianz C.E.O. akan dipaparkan pada jersi Tang Jie–Ee Wei bermula saingan Terbuka Malaysia minggu hadapan.
Dalam pada itu juga Toh Ee Wei mewakili gandingan itu merakamkan penghargaan kepada syarikat berkenaan dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atas sokongan diberikan, sambil menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai suntikan keyakinan untuk terus mengejar kecemerlangan.
Allianz Malaysia sebelum ini aktif menyokong pembangunan badminton negara melalui kerjasama strategik bersama BAM, termasuk penganjuran Kejohanan Badminton Junior Allianz, sebagai platform melahirkan bakat masa depan.