fb fb fb fb fb

SUKMA: Pahang tawar insentif RM6,000 atlet raih pingat emas

Foto Fail: Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail/ BERNAMA

KUANTAN, 8 Ogos- Sebanyak RM6,000 insentif ditawarkan kerajaan Pahang kepada atlet individu negeri itu yang berjaya meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak yang bakal berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pemberian insentif itu meningkat daripada RM4,000 sebelum ini kepada RM6,000 bagi menghargai komitmen dan usaha gigih atlet yang bersungguh-sungguh berlatih untuk meningkatkan imej serta memajukan sukan negeri ini.

“Bagi pemenang pingat emas atlet berkumpulan pula akan menerima insentif RM2,000 setiap seorang berbanding RM1,000 sebelum ini.

“Ia telah dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bersetuju agar kadar insentif pemenang pingat emas bagi atlet Pahang yang bertanding di SUKMA ditingkatkan.

"Diharap para atlet dapat mempamerkan semangat kesukanan tinggi dalam mengharungi saingan SUKMA kali ini dengan penuh keazaman dan kecekalan terutamanya dalam memburu pingat emas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada SUKMA kali ini Pahang menghantar seramai 564 atlet, 123 jurulatih dan 46 pengurus pasukan dengan mempertaruhkan 50 peratus daripada mereka merupakan atlet baharu.

Pahang menyasarkan 40 pingat emas, 19 perak dan 64 gangsa berpandukan kepada potensi dan prestasi semasa.

Pada SUKMA Kuala Lumpur 2022, kontinjen Pahang merangkul 22 emas, 21 perak dan 27 gangsa dan kedudukan kesembilan keseluruhan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI