fb fb fb fb fb

Sukma: Ganjaran RM4,000 buat atlet Kedah yang berjaya raih emas

Foto RTM

ALOR SETAR, 8 Ogos- Kerajaan Negeri Kedah menawarkan ganjaran insentif RM4,000 ditawarkan kepada mana-mana atlet yang bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang berjaya merangkul pingat emas pada temasya edisi ke 21 yang bakal berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata bagi pemenang pingat perak pula mereka akan menerima ganjaran sehingga RM2,500 sementara pemenang pingat gangsa akan menerima sehingga RM1,300.

Jelas Sanusi, insentif kewangan itu termasuk yang akan diberikan secara tunai segera di tempat kemenangan sebaik meraih pingat pada temasya sukan berkenaan dengan nilainya berbeza mengikut bilangan atlet dalam acara sukan terbabit.

"Kita nak bagi semangat kepada atlet-atlet untuk berjuang bersungguh-sungguh. Menang emas 'on the spot' dapat RM1,000, perak RM500 dan gangsa RM300 bagi semangat kepada atlet untuk berjuang bersungguh-sungguh.

"Kita ada sasaran 23 emas, 24 perak, dan 25 gangsa untuk acara tertentu, ada banyak sukan", katanya selepas majlis penyerahan bendera kontinjen Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim di sini.

Tambahnya, sukan-sukan yang dijangkakan akan menyumbangkan pingat kepada Kedah adalah seperti sukan Berbasikal, Judo, Skuasy, Perahu Layar, Pencak Silat dan Wushu Sanda.

Sanusi berkata, skuad Perahu Layar, Berbasikal dan Pencak Silat Negeri Kedah tidak pernah menghampakan Negeri Kedah sejak mula penyertaan dalam saingan Sukma dan sentiasa menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD