MELAKA, 15 April - Melaka akan menghantar 500 atlet untuk menyertai temasya Sukma KL 2022 dari 29 September hingga 8 Oktober depan.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, V. P. Shanmugam berkata, negeri itu akan menyertai kesemua 31 jenis sukan yang dipertandingkan.
Beliau berkata, renang, wushu dan sepak takraw menjadi pertaruhan untuk membawa pulang pingat emas buat kesemua atlet negara.
“Jadi buat masa ini persiapan telah bermula yang mana kita telah memanggil semua persatuan-persatuan sukan negeri untuk mempersiapkan atlet-atlet kita.
“Kita mahu, persatuan-persatuan ini membariskan atlet yang benar-benar layak dan boleh menyumbang pingat kepada negeri.
“Kalau boleh, kita minta sangat agar atlet-atlet kita dijaga sebaiknya supaya mereka tidak terlepas di tangan negeri-negeri lain terutamanya membabitkan mereka yang bekerja atau merantau di negeri lain atas faktor pelajaran dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media Malaysian Incentive Community Empowerment (MyICE) di Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) melaka, semalam.