GWANGJU, 16 April- Dua wakil negara masih meneruskan perjuangan di kejohanan Korea Masters.
Pemain perseorangan lelaki profesional, Soong Joo Ven dan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai masing-masing berjaya melangkah ke separuh akhir.
Joo Ven meneruskan aksi konsisten pada kejohanan di Gwangju itu apabila menewaskan pemain Israel, Misha Zilberman.
Aksi set pertama berlangsung sengit apabila kedua-duanya saling mengejar mata sebelum Joo Ven akhirnya menang 23-21.
(Pemain perseorangan lelaki profesional, Soong Joo Ven)
Set berikutnya, pemain berusia 26 tahun itu terus konsisten untuk menang 21-18 dan bakal bertemu Kodai Naraoka dari Jepun di separuh akhir.
Turut layak, pasangan Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai yang menewaskan beregu Singapura, Terry Hee Yong Kai-Tan Wei Han.
Turun selaku pilihan keempat, gandingan negara itu tidak mengahadapi masalah apabila menang 21-16, 21-11.
Mereka akan bertemu wakil China, Oi Xuan Yi-Huang Ya Qiong untuk meregut tempat ke final, hari ini.