fb fb fb fb fb

SUKMA ke-20 : Kesemua venue pertandingan siap 95 peratus

(Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias ditemu bual
media selepas Majlis Pengundian Sukan Berpasukan SUKMA 2022 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur) 

KUALA LUMPUR, 20 Ogos - Berbaki 27 hari menjelang penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20, kesemua venue pertandingan kini berada pada tahap 95 peratus siap dan sedia digunakan tepat pada tarikh kejohanan berlangsung.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias.

"Alhamdulillah, persediaan venue dan juga penganjuran kita telah berjaya menyelesaikan dan berunding dengan kesemua pemilik venue, dan Alhamdulillah segalanya telah siap dan kita hanya menunggu hari berlangsungnya SUKMA pada 16 hari bulan ini dan kita juga mengucapkan terima kasih kepada kementerian-kementerian yang lain seperti KPT, KPM, majlis tempatan yang banyak membantu kita untuk menyediakan venue pertandingan dengan sewajarnya," kata beliau selepas Majlis Pengundian Sukan Berpasukan SUKMA 2022 di Bukit Jalil, di sini.

Tambah Suhardi, buat masa ini hanya ada sedikit sahaja lagi proses penambahbaikan yang perlu dilakukan sebelum boleh digunakan.

Venue temasya kali ini melibatkan lima zon, iaitu zon satu Kuala Lumpur, zon dua Bangi, zon tiga Bukit Jalil dan zon empat Shah Alam, serta zon lima di Pulau Langkawi.


(Foto fail)

Sementara juara bertahan SUKMA 2018, Terengganu yakin mampu mengekalkan takhta kejuaran untuk edisi kali ini walaupun terpaksa menerima berita kehilangan tiga emas dari ratu pecut, Azreen Nabila Alias yang tidak dibenarkan menyertai temasya kali ini kerana memegang status Olimpian negara.

Demikian dimaklumkan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahaya.

"Tumpuan kami adalah selain dari cycling (basikal), kami tumpukan untuk perahu layar dan judo yang mana kedua-dua sukan ini kami harap dapat mencapai apa yang disasarkan, berdasarkan apa yang telah kami belanjakan untuk pembangunan sukan ini, apa yang kita sasarkan wajib dapat," menurut beliau.

Kontinjen Terengganu muncul juara SUKMA 2018 dengan kutipan 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa.

Media Baharu