fb fb fb fb fb

Bekas ketua jurulatih UITM FC, Ismail Zakaria meninggal dunia

(FOTO FB FAM)

KUALA LUMPUR, 20 Ogos - Arena sukan bola sepak tanah air hari ini dikejutkan dengan pemergian bekas ketua jurulatih UITM FC, Ismail Zakaria.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 60 tahun di sebuah hospital swasta di Cheras Selatan, tengah hari tadi akibat serangan jantung.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan di media sosial berkata beliau merupakan seorang jurulatih bola sepak yang cukup berpengalaman dengan turut pernah membimbing beberapa pasukan tempatan antaranya Sime Darby FC, Kuala Lumpur, Kuantan FA dan UiTM FC.


(Allahyarham Ismail Zakaria)

Selain itu, Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Kejurulatihan FAM pada tahun 2017 dan menjadi instruktur bagi kursus-kursus kejurulatihan.

Antara kejayaan beliau sebagai jurulatih bola sepak ialah dengan membawa Sime Darby FC muncul juara Liga FAM 2010, naib juara Piala FA 2012 dan naib juara Liga Premier 2013.

Sementara itu, bekas pengurus pasukan UiTM FC, Mustaza Ahmad menyifatkan Allahyarham sebagai figura penting kepada kejayaan UiTM FC pada tahun 2019.

Jelas beliau, hasil bimbingan cemerlang Allahyarham ketika itu berjaya membawa UiTM beraksi di Liga Super pada musim 2020.

Media Baharu